LEANDRO Mathias de Novaes.
LEANDRO Mathias de Novaes.
Agensi

Sao Paolo: Seorang peguam maut selepas secara tidak sengaja terkena tembakan dari pistol miliknya, selepas dia gagal mengeluarkan senjata api itu sebelum masuk ke bilik pengimejan resonans magnetik (MRI) di sebuah hospital di Brazil.

Portal Independent melaporkan ketika kejadian, Leandro Mathias de Novaes membawa ibunya untuk imbasan di Laboratorio Cura di sini, lapor Jam Press.

Lelaki berusia 40 tahun itu dikatakan gagal memberitahu pekerja hospital bahawa dia mempunyai pistol, walaupun diarahkan untuk mengeluarkan semua objek logam sebelum memasuki bilik imbasan.

Medan magnet daripada pengimbas MRI menarik senjata milik peguam itu dari pinggangnya dan secara tidak sengaja tembakan dilepaskan dan terkena perut mangsa.

Selain bekerja sebagai peguam, mangsa adalah pencipta kandungan prosenjata api yang mempunyai 12,000 pengikut di TikTok dan Instagram.

Jurucakap Perintah Peguam Brazil di Cotia, Sao Paulo berkata: "Dengan rasa sedih mendalam OAB Cotia menyampaikan kepada semua rakan peguam mengenai kehilangan rakan tersayang, peguam Leandro Mathias de Novaes yang tidak dijangka.

"Kami bersimpati atas kehilangannya dan semoga keluarganya tabah dalam detik kesakitan ini."

Jurucakap Laboratorio Cura berkata, pihaknya ingin menekankan bahawa semua protokol pencegahan kemalangan dipatuhi oleh pasukan Cura, seperti kebiasaan di semua unit.

"Kedua-dua iaitu pesakit dan penemannya sudah diarahkan dengan betul mengenai prosedur untuk mengakses bilik pemeriksaan dan amaran diberikan mengenai penyingkiran mana-mana atau semua objek logam," katanya.

Makmal itu juga menyatakan bahawa kedua-dua Leandro dan ibunya menandatangani borang mengenai protokol itu, tetapi mangsa didakwa gagal memaklumkan kewujudan senjata api miliknya sebelum memasuki bilik pemeriksaan dengan keputusannya sendiri.

Polis mengesahkan senjata itu didaftarkan dan peguam itu mempunyai lesen senjata api yang sah.

Leandro meninggal dunia pada 6 Februari lalu selepas bertarung nyawa di Hospital Sao Luiz Morumbi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 1:06 PM