Kelihatan petugas paramedik melakukan tugasan harian kepada pesakit di Zon Pengurusan Bencana (Disaster Management Zone, DMZ) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) untuk pesakit kategori 3, 4 dan 5 COVID-19. FOTO ASWADI ALIAS
Kelihatan petugas paramedik melakukan tugasan harian kepada pesakit di Zon Pengurusan Bencana (Disaster Management Zone, DMZ) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) untuk pesakit kategori 3, 4 dan 5 COVID-19. FOTO ASWADI ALIAS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kebanyakan pesakit Covid-19 yang 'ditidurkan' dapat diselamatkan dan berpeluang sembuh.

Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia Cheras Dr Malar Santhi Santherasegapan berkata, timbul pelbagai persepsi dan salah tanggapan mengenai istilah ditidurkan dalam kalangan orang ramai sebelum ini.

Menerusi perkongsian di saluran Youtube, beliau berkata, maksud tidurkan pesakit adalah prosedur intubasi kepada pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurutnya, prosedur 'Elective Intubation' iaitu koma itu bertujuan menyalurkan oksigen ke paru-paru pesakit menggunakan ventilator bagi meningkatkan kadar oksigen.

"Dalam menentukan pesakit ditidurkan apabila tahap oksigen pesakit rendah dan mengalami kegagalan pernafasan atau 'respiratory failure'.

"Ini berlaku apabila tahap oksigen di dalam darah sangat rendah manakala tahap karbon dioksida sangat tinggi.

"Sebelum pesakit berhenti bernafas atau pengsan dengan sendiri, kita bagi ubat tidurkan dia dan masukkan tiub pernafasan ke dalam saluran trakeanya untuk menghantar oksigen ke paru-paru," katanya dalam Celoteh Dr Malar di Youtube, baru-baru ini.

Beliau berkata, kesihatan pesakit akan dipantau rapi oleh pakar perubatan sepanjang tempoh rawatan itu.

Menurutnya, tiub pernafasan akan dicabut apabila keadaan kesihatan pesakit bertambah baik dan boleh bernafas sendiri.

Pesakit Covid-19 dikategorikan kepada satu hingga lima iaitu kategori satu bagi pesakit tidak bergejala, dua yang mempunyai gejala ringan, ketiga ada gejala dan radang paru-paru.

Kategori empat yang menghidap radang paru-paru dan memerlukan oksigen manakala kategori lima, pesakit kritikal yang mengalami kegagalan organ.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 8:58 PM