FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Mexico City: Kerajaan Mexico mengumumkan pengharaman penjualan rokok elektronik dan peranti vape lain kerana kebimbangan mengenai kesan kesihatan, semalam.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berkata, pengharaman itu sekali gus menjelaskan 'pembohongan' mendakwa e-rokok adalah alternatif yang selamat untuk menyedut asap tembakau.

"Wap itu juga berbahaya untuk kesihatan," tambah Lopez Obrador yang menandatangani dekri yang memperkenalkan larangan Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Dia menunjukkan peranti vape merah jambu sebagai gambaran bagaimana produk itu bertujuan menarik minat golongan muda.

"Lihat warna, reka bentuk," kata Lopez Obrador.

Pihak berkuasa Mexico City turut mengumumkan apa-apa jenis rokok akan dilarang di dataran utama ibu negara, Zocalo, dan kawasan sekitar di daerah bersejarah yang sibuk itu.

Pihak berkuasa tempatan itu mendakwa langkah itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai risiko kesihatan.

Merokok diharamkan di ruang tertutup, pejabat kerajaan, kedai, bar dan restoran selama lebih sedekad dengan pengecualian untuk tempat hiburan tertentu.

Mexico melarang import dan eksport peranti dan alatan vape pada Oktober tetapi syarikat itu terus menjual inventori mereka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Hugo Lopez-Gatell.

Larangan baharu itu meliputi "pengedaran dan pemasaran produk baharu ini," tambahnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap rokok elektronik berbahaya kepada kesihatan dan menggesa peraturan ketat untuk menghalang golongan muda daripada menggunakannya.

Lebih 30 negara mengharamkan penjualan rokok elektronik itu, kata WHO pada Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 10:40 AM