PASUKAN penyelamat memindahkan mangsa dari Recife, Pernambuco susulan banjir akibat hujan lebat di negeri berkenaan. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat memindahkan mangsa dari Recife, Pernambuco susulan banjir akibat hujan lebat di negeri berkenaan. FOTO AFP
AFP

Brasilia: Hujan lebat yang melanda negeri Pernambuco di timur laut Brazil sejak Selasa menyebabkan sekurang-kurangnya 34 terkorban, menurut kemas kini rasmi terkini.

"Sejak Rabu lalu hingga tengah hari Sabtu, 34 kematian direkodkan di negeri ini," kata Pertahanan Awam dalam satu kenyataan.

Peristiwa paling dramatik berlaku awal pagi Sabtu apabila 19 orang maut dalam tanah runtuh besar di komuniti Jardim Monteverde, di sempadan antara ibu negeri Recife dan perbandaran Jaboatao dos Guararapes.

Enam lagi terbunuh dalam satu lagi tanah runtuh di perbandaran Camaragibe.

Dua maut di Recife dan seorang lagi di Jaboatao dos Guararapes.

Lima yang lain mati awal minggu ini, menurut Pertahanan Awam.

Laporan akhbar tempatan berkata, tiga maut akibat tanah runtuh di Olinda, dan orang keempat maut selepas terjatuh ke dalam terusan, juga di Olinda.

Hujan lebat juga menyebabkan hampir 1,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat banjir dan tanah runtuh.

Presiden Jair Bolsonaro, dalam Tweeter, menyatakan kesedihan dan solidaritinya kepada mangsa bencana yang menyedihkan dan berkata kerajaannya akan melakukan segala yang mungkin "untuk meringankan penderitaan.

Beliau menambah bahawa pasukan dari Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewarganegaraan sedang dikerahkan untuk membantu dalam operasi bantuan dan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada keluarga yang terjejas.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan laluan banjir yang luas di beberapa kawasan majlis perbandaran, keadaan rumah runtuh dan bencana tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 10:28 AM