PASUKAN penyelamat mengorek sisa runtuhan bagi mencari dan menyelamat mangsa dalam insiden bangunan runtuh di pinggir Recife di Brazil. FOTO AFP.
PASUKAN penyelamat mengorek sisa runtuhan bagi mencari dan menyelamat mangsa dalam insiden bangunan runtuh di pinggir Recife di Brazil. FOTO AFP.
Reuters

Brasilia: Angka korban tragedi runtuhan bangunan kediaman di timur laut Brazil, kelmarin mencecah 14 orang.

Perkara itu disahkan pegawai pertahanan awam, selepas mangsa terakhir tragedi ditemui semalam.

Insiden berlaku di kawasan kejiranan Janga di pinggir Recife, ibu negeri Pernambuco.

Bangunan pangsapuri itu runtuh ketika ramai penduduk masih tidur, selepas hujan lebat melanda wilayah itu.

Menurut kenyataan pertahanan awam, tiga orang berjaya diselamatkan daripada keruntuhan yang punca sebenar belum diketahui.

Jumaat lalu, pihak berkuasa melaporkan lapan kematian akibat tragedi terbabit.

Gabenor Pernambuco, Raquel Lyra yang menzahirkan takziah di Twitter berjanji kerajaan negeri akan berusaha membantu keluarga mangsa yang memerlukan.

Recife, sebuah bandar pantai yang mempunyai 1.5 juta penduduk, dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 11:25 AM