MARCELO Pecci. FOTO fail AFP
MARCELO Pecci. FOTO fail AFP
AFP

Bogota: Pendakwa Raya Antidadah Paraguay, Marcelo Pecci ditembak mati ketika berbulan madu di Pulau Baru, dekat Cartagena, Colombia.

Suspek lelaki itu kemudian melarikan diri melalui laut.

Presiden Paraguay mengecam jenayah itu sebagai pembunuhan pengecut dan rakan pendakwa raya berkata, modus operandi itu berkaitan dengan mafia dadah.

Pecci, 45, terkena dua das tembakan ketika berehat di pantai di Pulau Baru, menurut isterinya, Claudia Aguilera.

Wanita itu yang juga wartawan di Paraguay, berkahwin dengan Pecci, pada 30 April, di bandar berdekatan Cartagena.

"Dua lelaki menyerang Marcelo (Pecci). Mereka datang dengan bot kecil, atau menaiki jet ski, sebenarnya saya tidak nampak dengan baik," katanya kepada akhbar El Tiempo.

Salah seorang penyerang keluar dan "tanpa sepatah kata dia menembak Marcelo dua kali, satu [peluru] terkena di muka dan satu lagi di belakang", kata Aguilera.

Katanya, suaminya yang dikahwini kurang dua minggu itu tidak menerima sebarang ugutan.

Hotel Decameron, tempat pasangan itu menginap berkata, dalam satu kenyataan "pembunuh upahan tiba di pantai ... dan menyerang serta membunuh salah seorang tetamu kami".

Motif pembunuhan itu tidak diketahui tetapi pendakwa raya Paraguay, Augusto Salas yang juga rakan sekerja Pecci, berkata modus operandi itu adalah "tipikal mafia [dadah], jadi itulah yang saya akan fikirkan sehingga dibuktikan sebaliknya".

Ketua polis Colombia Jorge Luis Vargas berkata, lima pegawai penyiasat jenayah dihantar ke Baru, dan akan menerima sokongan daripada pakar Paraguay dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 10:28 AM