Aksi Paraguay menentang Qatar pada aksi Copa America di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil berakhir dengan keputusan seri 2-2. FOTO Reuters
Aksi Paraguay menentang Qatar pada aksi Copa America di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil berakhir dengan keputusan seri 2-2. FOTO Reuters
Reuters

QATAR bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan seri 2-2 menentang Paraguay dalam perlawanan sulung mereka dalam saingan Copa America awal pagi ini.

Aksi penuh dramatik itu membuktikan wakil Asia itu antara pasukan mencabar dalam kumpulan tatkala beraksi di Stadium Maracana, Brazil tanpa kehadiran ramai penonton.

Tuan rumah Piala Dunia 2022 antara dua wakil pasukan jemputan disamping Jepun di kejohanan Amerika Selatan itu.

Bagaimanapun, penampilan awal mereka tersentak dengan jaringan pembukaan pemain Paraguay, Oscar Cardozo yang menyempurnakan gol dari kawasan kotak penalti hanya selepas empat minit perlawanan berlangsung.

Qatar yang melakar kejayaan di Piala Asia dengan menjaringkan 19 gol dan hanya melepaskan satu gol, memberikan lawannya banyak masalah selepas 30 minit aksi namun gagal menyempurnakan jaringan dengan penyerang Almoez Ali terlepas beberapa peluang menghasilkan gol.

Diawal babak kedua, Cardozo menyempurnakan jaringan namun dibatalkan selepas rebiu VAR namun Paraguay tidak perlu menunggu lama untuk mendahului menerusi rembatan jarak jauh Derlis Gonzalez pada minit ke 56.

Aksi berani Qatar berhasil selepas Ali merapatkan kedudukan jaringan buat pasukannya menerusi gol minit ke-68.

Sembilan minit kemudian, Boualem Khoukhi menyamakan kedudukan dengan penyudah menarik mengatasi penjaga gawang Paraguay, Robert Fernandez.

Pemain Qatar, Boualem Khoukhi meraikan jariang bersama rakannya selepas menjaringkan gol kedua. FOTO Reuters
Pemain Qatar, Boualem Khoukhi meraikan jariang bersama rakannya selepas menjaringkan gol kedua. FOTO Reuters

“Kami mendominasi perlawanan dalam beberapa fasa dan walaupun ketinggalan 0-2 pemain tidak berhenti melakukannya,” kata jurulatih Qatar kelahiran Sepanyol, Felix Sanchez yang memulakan kerjaya kejurulatihan di peringkat remaja Barcelona.

Skuad Matias Rojas mempeluang mendahului dihujung aksi namun Qatar berjaya memastikan kedudukan itu kekal sehingga masa tamat perlawanan.

Colombia mendahului Kumpulan B dengan tiga mata selepas menewaskan Argentina, 2-0 manakala Paraguay dan Qatar masing-masing memungut satu mata. Qatar menentang Colombia pada Rabu, sementara Paraguay berdepan Argentina.

Jurulatih Paraguay Eduardo Berizzo, sementara itu, mengkritik pemainnya kerana gagal menjarakkan kedudukan.

“Pemain tengah kami tidak mampu menguasai kawalan bola, kami terpaksa bergelut untuk beraksi seperti permainan sebenar kami,” katanya.

“Kami berdepan dengan pasukan yang sangat bagus dan kami perlu menguasai di bahagian tengah. Keputusan itu adalah hadiah dan hukuman daripada apa yang kami lakukan dalam perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:05 AM