POLIS antirusuhan melepaskan gas pemedih mata di penjara El Turi. FOTO AFP
POLIS antirusuhan melepaskan gas pemedih mata di penjara El Turi. FOTO AFP
Reuters

Quito: Sekurang-kurangnya 12 banduan maut dan 10 lagi cedera semasa konfrontasi kumpulan kongsi gelap di sebuah penjara di Ecuador, kata kerajaan pada Ahad.

Keganasan di penjara Ecuador, yang dikatakan kerajaan berkaitan dengan pertikaian kumpulan berkaitan pengedaran dadah, membunuh 316 orang tahun lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Amerika berkata, sistem itu terjejas oleh pengabaian negara dan ketiadaan dasar yang komprehensif serta keadaan yang buruk untuk banduan.

Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo berkata, konfrontasi di penjara El Turi di bandar Cuenca berlaku awal Ahad dengan banduan cuba mengawal bahagian dalam penjara.

"Ada organisasi yang mahu mempunyai kuasa mutlak di bahagian di dalam penjara dan terdapat beberapa sel yang memberontak terhadap mereka," katanya.

Kerajaan sedang mengambil langkah untuk mendapatkan semula kawalan penjara, tambah Carrillo.

Kenyataan kerajaan pada awal Ahad berkata, kira-kira 800 anggota polis dan tentera sudah hadir melakukan kawalan serta pemantauan di penjara itu.

"Tiada laporan mengenai banduan yang melarikan diri," menurut kenyataan kerajaan.

Ketua Sistem Penjara, Pablo Ramirez berkata, kira-kira 90 banduan sudah dipindahkan selepas kejadian itu, dengan 10 daripadanya cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 9:23 AM