HALIMA Cisse bersama sembilan anaknya. FOTO Facebook Menteri Kesihatan Mali, Dieminatou Sangare
HALIMA Cisse bersama sembilan anaknya. FOTO Facebook Menteri Kesihatan Mali, Dieminatou Sangare
AFP

Bamako: Wanita yang melahirkan sembilan anak di Maghribi tahun lalu, selamat pulang ke Mali, Selasa lalu.

Menteri Kesihatan Mali , Dieminatou Sangare mengesahkan kepulangan wanita itu bersama bayinya.

"Satu kegembiraan dan kepuasan melihat mereka dalam keadaan sihat.

"Ibu dan bayinya sihat dan selamat tiba di Mali," katanya dalam satu kiriman mesej kepada AFP.

Sangare turut berkongsi gambar di laman Facebook ketika beliau mengalu-alukan kepulangan kedua ibu bapa dan sembilan anak mereka di ibu negara Bamako.

"Ini kelahiran pertama terbanyak. Menjadi kebanggaan kami.

Beliau berkata, Mali menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan Maghribi yang membantu kelahiran dan rawatan Halima Cisse.

Cisse, seorang wanita muda dari bandar utara Timbuktu, melahirkan lima bayi perempuan dan empat lelaki di Casablanca, Maghribi, pada Mei 2021.

Kerajaan Mali sebelum itu membawanya ke klinik Ain Borja, yang mempunyai kemudahan lebih baik bagi proses kehamilan berganda berbanding di negeri Sahel yang miskin.

Doktor bimbang mengenai kesihatan bakal ibu dan peluang bayi untuk hidup, memandangkan risiko kelahiran pramatang tinggi.

Kandungannya berusia 25 minggu ketika mendapat rawatan sebelum kakitangan perubatan berjaya melanjutkan tempohnya hingga 30 minggu.

Semua bayinya selamat dilahirkan melalui pembedahan Caesarean dengan kepakaran 10 doktor yang dibantu 25 paramedik.

Bayi itu masing-masing mempunyai berat antara 500 gram dan satu kilogram, namun pada awalnya perlu menetap sementara Maghribi untuk rawatan lanjut dan penjagaan pakar.

Rekod dunia kelahiran terbanyak sebelum ini ialah lapan bayi dilahirkan seorang wanita Amerika Syarikat, Nadya Suleman yang digelar Octomum pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 10:27 AM