Antara banduan yang dikehendaki. FOTO Agensi
Antara banduan yang dikehendaki. FOTO Agensi
Agensi

Nairobi: Pentadbir tertinggi penjara di Kenya dipecat susulan tiga banduan yang terbabit dalam aktiviti pengganas berjaya meloloskan diri.

Presiden Kenya Uhuru Kenyatta, memecat Wycliffe Ogallo Rabu lalu susulan kejadian membabitkan penjenayah berprofil tinggi itu.

Ketua Penyiasatan Jenayah George Kinoti berkata, Ogallo ditahan bersama penguasa penjara yang lain.

Negara itu melakukan operasi memburu ketiga-tiga banduan itu secara besar-besaran termasuk seorang daripadanya yang dianggap paling berbahaya.

Banduan itu menjalani hukuman penjara 41 tahun kerana terbabit dengan satu serangan keganasan yang paling buruk di negara itu.

Selain itu, pihak berkuasa juga meningkatkan tahap keselamatan di bandar dan kawasan sempadan selepas kejadian pengeboman di negara jiran, Uganda pada Selasa yang didakwa dilakukan kumpulan Daesh.

Menteri Dalam Negeri Fred Matiangi awal minggu ini mendakwa tujuh warden penjara berkenaan bertanggungjawab dalam kejadian itu dan bertindak menahan mereka.

Imbuhan berjumlah 60 juta Shiling (kira-kira RM2.23 juta) akan diberikan kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya banduan terbabit.

Salah seorang banduan, Mohamed Ali Abikar didapati bersalah pada 2019 kerana menjadi anggota Al-Shabaab dan bersekongkol dengan pelampau Somalia dalam serangan membabitkan 148 orang maut di Universiti Garissa pada 2015.

Sebahagian mangsa adalah penuntut yang ditahan pada waktu pagi sebelum ditembak.

Ia adalah serangan paling buruk dalam sejarah Kenya selepas pengeboman kedutaan Amerika Syarikat di Nairobi pada 1998 yang mengorbankan 213 orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 6:45 AM