Pasukan keselamatan melakukan kawalan di lokasi kejadian yang meragut 14 nyawa. FOTO EPA
Pasukan keselamatan melakukan kawalan di lokasi kejadian yang meragut 14 nyawa. FOTO EPA
BERNAMA

TIADA rakyat Malaysia cedera dalam serangan keganasan di Kompleks Riverside Drive di hab komersial Nairobi, Kenya yang meragut 14 nyawa, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Loh Seck Tiong.

Dalam satu kenyataan kepada BERNAMA hari ini, beliau berkata, berikutan insiden itu Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan penduduk Malaysia di Kenya.

Kumpulan militan Somalia, Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab terhadap serangan maut itu. Kumpulan berkaitan berikrar menyerang Kenya sebagai membalas dendam kerana menghantar tentera ke Somalia yang terjejas akibat konflik sejak 1991.

“Langkah keselamatan masih berkuatkuasa bagi menjamin lokasi kejadian selamat kerana belum dapat dipastikan berapa ramai berada di bangunan itu sekarang.

“Berdasarkan maklumat yang diterima pada masa kenyataan dikeluarkan, tiada mangsa membabitkan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Tinggi menasihatkan 80 rakyat Malaysia di Kenya mengelakkan berada di kawasan itu dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini.

Menurutnya, Kerajaan Kenya memberi jaminan keadaan adalah terkawal dan Suruhanjaya Tinggi sentiasa memantau sebarang perkembangan terkini.

Sementara itu Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta dalam kenyataan terbarunya dilaporkan berkata, semua pengganas yang menyerang kompleks hotel berkenaan berjaya dihapuskan sekali gus menamatkan serangan keganasan yang berlarutan selama hampir 20 jam.

Pada 2013 serangan serupa berlaku di pusat membeli-belah Westgate di Nairobi, juga dilakukan militan Al-Shabaab mengorbankan 67 nyawa manakala insiden di Garissa University pada 2015 menyaksikan 150 orang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 9:47 PM