GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Washington: Amerika Syarikat (AS) menjangkakan sekurang-kurangnya 20 juta rakyatnya akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada bulan depan.

Ketua Bersama Operasi Warp Speed, Moncef Slaoui berkata, pihaknya menjangkakan antara 25 hingga 30 juta orang boleh menerima suntikan imunisasi virus itu.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada keputusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) sama ada untuk membenarkan penggunaan satu atau lebih vaksin kepada rakyat AS.

Pfizer pada minggu ini, mengumumkan data menunjukkan keberkesanan vaksin dibangunkannya lebih daripada 90 peratus dan berkata, permohonan pemberian vaksin itu akan dikemukakan kepada FDA, bulan ini.

Moderna pula yang bekerjasama dengan Institut Kesihatan Kebangsaan sedang membuat persiapan untuk mengumumkan data keberkesanan vaksin dibangunkannya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna diberikan dua dos sekali gus dan ia mengurangkan separuh daripada jumlah vaksin pesanan awal kerajaan iaitu 100 juta dos vaksin daripada setiap pengeluar itu.

Empat vaksin termasuk dari Pfizer dan Moderna kini dalam fasa akhir tahap percubaan di AS dan sekurang-kurangnya satu syarikat lain merancang untuk memulakan kajian sama, bulan ini.

Slaoui berkata, kemungkinan lebih banyak vaksin dibenarkan pada musim bunga, sekali gus meningkatkan peluang untuk membolehkan lebih ramai orang mendapatkan vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 6:32 AM