RESTORAN KFC di Melbourne. FOTO AFP
RESTORAN KFC di Melbourne. FOTO AFP
AFP

MELBOURNE: Pemain Pokemon Go dan pelanggan restoran KFC adalah antara mereka yang disaman di Melbourne selepas ia melaksanakan perintah berkurung kedua.

Kira-kira lima juta penduduk di bandar ini diarahkan duduk di rumah sejak minggu lalu selepas berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Polis di Victoria mengeluarkan lebih 500 saman dalam tempoh enam hari dengan jumlah Aus$902,000 (RM2.7 juta).

Antara mereka yang disaman adalah dua lelaki yang leka bermain Pokemon Go di dalam kereta, sekumpulan individu yang mendakwa 'mengecas telefon bimbit' di rumah rakan mereka selain seorang lelaki yang menikmati hidangan KFC di restoran berkenaan serta enggan beredar selepas diarahkan berbuat demikian.

Beberapa hari sebelum itu, sekumpulan individu didenda Aus$26,000 (RM78,000) selepas 'kantoi' memesan hidangan KFC dalam jumlah luar biasa.

"Apa yang dibimbangkan adalah penganjuran majlis dan perhimpunan dalam tempoh ini," kata timbalan ketua polis, Rick Nugent.

Penduduk Melbourne hanya dibenarkan meninggalkan kediaman untuk bekerja, belajar, mendapatkan rawatan atau bersenam selain membeli barangan keperluan.

Kira-kira 1,500 kes direkodkan di bandar ini sejak perintah berkurung dilaksanakan berikutan peningkatan kes kluster perumahan awam, rumah penjagaan dan sekolah.

Australia mencatatkan lebih 10,000 kes Covid-19 dengan 111 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:12 PM