SEORANG petugas (kiri) menyebat seorang lelaki yang dihukum selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang wanita di Banda Aceh, semalam. - AFP
SEORANG petugas (kiri) menyebat seorang lelaki yang dihukum selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang wanita di Banda Aceh, semalam. - AFP
AFP

Banda Aceh: Seorang lelaki pengsan ketika dihukum sebat di khalayak ramai semalam selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang wanita yang bukan muhrimnya.

Herizal Yunus, 27, rebah selepas dirotan lapan kali di Aceh, wilayah autonomi yang menguatkuasakan undang-undang Islam di Indonesia.

Petugas membawa Herizal turun dari pentas ketika dia dirotan di hadapan orang ramai di sebuah masjid di Banda Aceh.

Apabila Herizal sedar, seorang doktor memeriksanya dan berkata, lelaki itu sihat. Dia kemudian dibawa semula ke pentas untuk menerima baki 14 sebatan lagi.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman sebat sebanyak 22 kali terhadap lelaki itu selepas dia ditangkap berdua-duaan dengan seorang wanita yang bukan isterinya.

Lelaki itu antara lapan pesalah yang dihukum sebat di khalayak ramai atas pelbagai kesalahan termasuk berkhalwat dan berjudi.

Aceh mula menguatkuasakan undang-undang Islam selepas mendapat kuasa autonomi pada 2001, sekali gus menamatkan pemberontakan di wilayah itu.

Undang-undang Islam mula diperkasakan sejak Aceh menandatangani perjanjian damai dengan Jakarta pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 7:24 AM