Penganut Kristian di Aceh, Tjia Nyuk Hwa, menjalani hukuman sebat, semalam. - AFP
Penganut Kristian di Aceh, Tjia Nyuk Hwa, menjalani hukuman sebat, semalam. - AFP
AFP

Banda Aceh: Dua penganut Kristian di Aceh memilih menjalani hukuman sebat di khalayak ramai mengikut undang-undang syariah wilayah itu bagi mengelak dibicarakan di mahkamah dan berkemungkinan dihukum penjara.

Dahlan Silitonga, 61, dan seorang wanita, Tjia Nyuk Hwa, 45, yang didapati bersalah bermain permainan video berunsur judi di kafe siber, masing-masing menjalani hukuman sebat enam dan tujuh kali, semalam.

Penduduk bukan Islam di Aceh yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang kerajaan dan syariah boleh memilih dihukum mengikut satu daripada sistem terbabit.

Dahlan dan Tjia antara lima pesalah, termasuk satu pasangan yang berkhalwat menjalani hukuman sebat, semalam.

“Hukuman di khalayak ramai ini bagi mengelak orang ramai mengulangi kesalahan,” kata Datuk Bandar Banda Aceh, Aminullah Usman.

Hukuman sebat itu dilakukan di atas pentas luar sebuah masjid dan disaksikan kira-kira 300 orang.

Namun, ia turut mengundang ejekan penonton sementara Tjia Nyuk Hwa cuba menyembunyikan wajahnya dengan kain.

Januari lalu, seorang penganut Kristian disebat kerana menjual arak di wilayah dihuni lima juta orang dengan 98 peratus beragama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 3:43 AM