GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Montreal: Seorang lelaki menembak mati sekurang-kurangnya 13 individu di kawasan luar bandar Nova Scotia, sebelum dia ditemui meninggal dunia, semalam.

Polis menyifatkan kejadian itu sebagai satu daripada insiden pembunuhan terburuk di Kanada sejak 1989 yang menyebabkan 14 pelajar perempuan Montreal’s Ecole Polytechnique meninggal dunia.

Dikenal pasti sebagai Gabriel Wortman, 51, suspek melarikan diri sejak malam Sabtu selepas polis dimaklumkan tembakan di pekan Portapique, kira-kira 100 kilometer dari Halifax, ibu negeri wilayah Atlantik.

Kes keganasan bersenjata di Kanada sangat sedikit berbanding negara jiran, Amerika Syarikat dan penggunaan senjata dikawal ketat.

“Saya boleh mengesahkan ada 13 mangsa setakat ini, dan suspek turut maut,” kata Komisioner Polis Diraja Kanada (RCMP) Brenda Lucki kepada media penyiaran CBC.

Turut terbunuh, anggota polis Konstabel Heidi Stevenson, manakala mangsa lain ditemui di dalam dan luar rumah di pekan itu.

“Pencarian suspek berakhir pagi ini (Ahad) apabila dia ditemui dan disahkan meninggal dunia,” kata Ketua Superintendan Polis Chris Leather dalam sidang media.

Leather berkata, suspek dilihat memakai seragam polis dan memandu kenderaan menyerupai kereta RCMP.

Bagaimanapun, katanya siasatan masih di peringkat awal dan jumlah mangsa terbunuh belum lengkap.

RCMP dalam Twitter rasmi memaklumkan suspek bukan seorang pegawainya dan memberi amaran lelaki itu berbahaya.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dalam kenyataan media memaklumkan sedih dengan insiden keganasan itu.

Beliau berharap mangsa yang cedera sembuh dengan baik, termasuk seorang anggota RCMP yang dirawat di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 9:26 AM