SERIGALA gergasi yang berjaya ditembak pemburu. Foto Agensi
SERIGALA gergasi yang berjaya ditembak pemburu. Foto Agensi
Agensi

SEORANG pemburu menembak mati seekor serigala sebesar lelaki dewasa di Kampung Aleksandrovka, di daerah Blagoveshchensk, Russia.

Sebelum ini, haiwan liar itu mengganas dan sering mengganggu penduduk.

Menariknya, penduduk tempatan mendakwa serigala itu tidak pernah dilihat di kawasan itu lebih empat dekad lalu.

Tetapi, kelibat serigala gergasi itu pada musim sejuk dan memasuki penempatan manusia mengundang tanda tanya orang ramai.

Oddity Central melaporkan beberapa anjing, 20 lembu dan kuda dilaporkan mati di kampung itu minggu lalu dipercayai dimakan atau diserang serigala itu.

Penduduk kampung, Mikhail Dementov berkata, anjing pengawal juga berhenti menyalak untuk memberi amaran mengenai kedatangan serigala itu.

“Mereka tidak menyalak, anjing itu bersembunyi di kandang.

“Tidak ada yang menyalak. Mengapa? Saya bukan pemburu, saya tidak tahu. Mereka mungkin takut,” katanya.

Bagaimanapun, pemburu tempatan berjaya menembak seekor serigala yang digambarkan setinggi lelaki dewasa itu.

Gambar pemburu itu memikul bangkai serigala itu menjadi tular di sosial media dan menarik perhatian akhbar tabloid United Kingdom.

Bagaimanapun, penduduk masih ketakutan untuk keluar dan mengandaikan kemungkinan serigala lain masih ada di hutan di sekeliling rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:01 AM