GAMBAR menunjukkan pekerja memasak gulai di dalam periuk. - Reuters
GAMBAR menunjukkan pekerja memasak gulai di dalam periuk. - Reuters
Agensi

New Delhi: Seorang budak perempuan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam periuk berisi kari panas di sebuah sekolah di daerah Mirzapur, Uttar Pradesh, India.

Kejadian itu dikatakan tidak disedari oleh tukang masak yang didakwa mendengar muzik dengan menggunakan fon telinga.

Mangsa yang berusia tiga tahun melecur teruk selepas terjatuh ke dalam periuk berkenaan.

Ketika insiden, kari itu baru saja siap dimasak.

Bapa mangsa mendakwa tukang masak langsung tidak menyedari kejadian itu.

Abang kepada mangsa yang menyaksikan kejadian itu turut menjerit untuk meminta tolong, tetapi tidak didengari tukang masak berkenaan.

Guru sekolah kemudian bergegas membantu budak itu namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Susulan kejadian, Majistret Daerah Mirzapur, Sushil Kumar Patel memerintahkan guru besar sekolah terbabit digantung daripada tugas.

Ketika ini, pihak berkuasa masih menyiasat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Asas Mirzapur berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan selepas menerima laporan penuh berhubung kejadian.

“Tindakan akan diambil. Saya diberitahu bahawa budak itu bukan murid di sekolah berkenaan,” katanya.

Ia bukan kes pertama membabitkan kanak-kanak mati di sekolah akibat kecuaian manusia.

Pada November tahun lalu, seorang budak lelaki tiga tahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam periuk berisi kari di daerah Ranga Reddy di Telangana.

Pada awal bulan sama, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun pula termasuk ke dalam kawah gulai yang menggelegak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 4:26 PM