TENTERA prokerajaan mengatur kedudukan di pinggir Ramadi.
TENTERA prokerajaan mengatur kedudukan di pinggir Ramadi.
AP

Baghdad: Beberapa siri serangan di seluruh Iraq mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh semalam, dalam pada tentera kerajaan meneruskan usaha mengusir kumpulan Negara Islam (IS) di sebuah bandar di barat Baghdad.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu, namun nampak seperti dilaksanakan IS.

Di bandar Khalis yang berpenduduk majoriti Syiah, kira-kira 80 kilometer di utara Baghdad, dua kereta dimuatkan bahan letupan diletuskan.

Kereta pertama diparkir dalam stesen bas dengan letupan mengakibatkan tiga maut dan 10 cedera, kata seorang anggota polis.

Kenderaan kedua pula meletup di sebuah pasar luar mengakibatkan empat orang awam dan mencederakan lapan yang lain.

Di sekitar Baghdad, lima bom meletup di kawasan komersial mengakibatkan lapan orang awam terbunuh dan 35 cedera, kata anggota polis.

Tiga pegawai perubatan mengesahkan jumlah kematian dan kecederaan itu.

Serangan berlaku sehari selepas pasukan keselamatan Iraq semakin mara dalam usaha menawan semula beberapa kawasan di Ramadi daripada IS yang kini mengawal sejumlah besar wilayah di barat serta utara Iraq dan Syria,

Kumpulan itu mengisytiharkan pemerintahan khalifah di kawasan yang dikawalnya.

Sementara itu, jurucakap tentera Brigadier Jeneral Yahya Rasool berkata, pihaknya dibedil serangan penyerang hendap dan bom tepi jalan.

“Beberapa keluarga yang terperangkap di Ramadi berjaya keluar dari situ dan kini berada di tempat selamat,” katanya.

Mei lalu, kerajaan Iraq mengalami kekalahan besar selepas IS menawan Ramadi, ibu negeri wilayah Anbar.

Kekalahan itu yang terbesar dialami kerajaan sejak IS bangkit di barat serta utara Iraq, termasuk di bandar kedua terbesarnya, Mosul pada musim panas 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 7:57 AM