ANAK Prabha Devi dilahirkan pramatang. FOTO Agensi
ANAK Prabha Devi dilahirkan pramatang. FOTO Agensi
Agensi

RAJASTHAN (INDIA): Seorang warga emas di sini, dipercayai ibu paling tua di dunia selepas melahirkan anak pada usia 75 tahun menerusi kaedah persenyawaan in-vitro (IVF), hanya sebulan selepas seorang lagi wanita tua mendapat sepasang kembar dengan cara sama.

Prabha Devi melahirkan bayi sulungnya menerusi pembedahan di Hospital Kinker, Kota pada malam Sabtu lalu.

Bayi perempuan seberat 680 gram itu kini ditempatkan di unit penjagaan rapi dan terpaksa bergantung kepada bantuan sokongan hayat.

Menurut Daily Mail, bayi itu lahir pramatang pada usia 30 minggu kerana ibunya lemah disebabkan hanya mempunyai satu paru-paru yang berfungsi.

Pakar Sakit Puan dan Obstetrik, Dr Abhilasha Kinker berkata, wanita itu disarankan melahirkan anak awal disebabkan komplikasi.

“Dia sudah tua dan satu paru-parunya tidak berfungsi, jadi kami enggan mengambil risiko terhadap nyawa dia dan anaknya.

“Bayi itu mungkin meninggal dunia dalam kandungan sekiranya kami tidak melakukan pembedahan,” jelasnya.

Prabha dan suaminya yang berusia 80 tahun sudah mempunyai seorang anak angkat, namun pasangan itu teringin memiliki cahaya mata sendiri.

Abhilasha berkata, Prabha tidak membawa dokumen pengenalan diri ketika ke hospital menyebabkan dia sukar mengesahkan usia sebenar wanita itu.

Sekiranya usia Prabha dapat dibuktikan, dia akan menjadi wanita paling tua melahirkan anak.

Bulan lalu, seorang lagi wanita, Erramatti Mangayamma, 74, melahirkan kembar perempuan selepas mendapatkan IVF.

Buat masa ini, rekod ibu paling tua melahirkan anak dipegang Elizabeth Adeney dari Britain yang menimang anak lelaki ketika usia 66 tahun pada Mei 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:21 AM