JAIR Bolsonaro
JAIR Bolsonaro
Agensi

BRASILIA: Selepas menolak tawaran bantuan luar untuk memadam kebakaran hutan Amazon, Presiden Brazil Jair Bolsonaro mengubah pendirian dan bersetuju menerimanya tetapi hanya dengan syarat dibiarkan mengawal perbelanjaan berkenaan sepenuhnya.

Bolsonaro beberapa kali nampak berbolak-balik sama ada mahu menerima bantuan AS$20 juta (RM84 juta) berkenaan yang ditawarkan negara G7. Dia pada mulanya nampak terbuka menerima tawaran berkenaan Isnin lalu sebelum tiba-tiba berubah pendirian sehari kemudian.

Jurucakapnya Otavio Rego Barros dipetik AFP berkata: “Kerajaan Brazil menerusi Presiden Bolsonaro terbuka menerima sokongan kewangan daripada organisasi dan negara luar.

“Apa yang penting adalah wang ini, sebaik diterima Brazil, dikawal sepenuh rakyatnya.”

Kenyataannya langsung tidak merujuk kepada tawaran G7 itu yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kerajaan Bolsonaro.

Ada yang menganggap bantuan itu amat diperlukan tetapi tidak kurang juga melihatnya sebagai kaedah mengawal Brazil seterusnya menggugat kedaulatan negara itu, lapor Reuters

Bolsonaro dan Presiden Perancis Emmanuel Macron bertegang urat berhubung isu kebakaran paling buruk melanda Amazon yang mencetuskan kemarahan global selain mengancam perdagangan antara negara Kesatuan Eropah serta Amerika Selatan.

Isnin lalu seorang pegawai kanan Brazil menolak tawaran AS$20 juta (RM84 juta) malah berkata, Macron sepatutnya ‘menjaga rumah dan jajahannya saja.’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 9:35 PM