Anyeonghaseyo! Dunia hiburan K-Pop tidak dinafikan semakin ‘kejam’ apabila artis tidak boleh berasa selesa walau sesaat dan perlu ada inisiatif jika mahu terus bertahan.

Dipuja hari ini tidak bermakna akan disanjung esok. Demikianlah senario dihadapi dua anggota kumpulan Dal Shabet yang bernaung di bawah agensi Happy Face Entertainment. Selepas empat tahun diperkenalkan, Gaeun dan Jiyool akhirnya disingkirkan daripada kumpulan terbabit.

Berita mengejut itu didedahkan Sports Chosun yang melaporkan kontrak Gaeun dan Jiyool sudah tamat.

Meskipun Dal Shabet kerap bertukar anggota sebelum ini, Gaeun dan Jiyool sudah bersama kumpulan itu sejak diperkenalkan pada 2011.

Gaeun dikatakan bakal menyambung impiannya menceburi dunia fesyen manakala Jiyool pula mahu menumpukan perhatian pada karier lakonan.

Ulzzang! minggu ini membuka tirai dengan perkembangan terkini kumpulan BTS yang dikecam kerana mengkritik EXO.

Pada 7 Disember lalu, laman sesawang BTS memuat naik artikel jumlah jualan album berulang kali. Lebih menjengkelkan kumpulan itu membandingkan jumlah itu dengan pencapaian EXO.

Sudah pasti tindakan itu mengundang kemarahan pengikut setia EXO.

BTS dilihat mendabik dada apabila album mereka berjaya terjual 90,000 unit dalam satu minggu dan menduduki tempat teratas beberapa carta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 12:29 PM