GILBERT berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah. FOTO Agensi
GILBERT berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah. FOTO Agensi
Agensi

NEW YORK: Seorang anak yang terlalu dimanjakan didapati bersalah membunuh bapanya yang juga jutawan selepas elaunnya dipotong.

Thomas Gilbert Jr didapati bersalah atas tiga daripada tuduhan terhadapnya, termasuk membunuh dan memiliki senjata. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup dan mahkamah menetapkan 9 Ogos depan untuk menjatuhkan hukuman, lapor Daily Mail.

Menurut New York Post, Gilbert, 34, tiba-tiba pulang ke rumah ibu bapanya pada 4 Januari 2015 kerana berang dengan keputusan bapanya, Thomas Gilbert Sr, 70, yang memotong elaunnya selepas tidak tahan dengan sikap boros tertuduh yang tidak bekerja.

Gilbert yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi dari Universiti Princeton, tidak pernah bekerja tetap sejak graduasi, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada ibu bapanya dan mereka terpaksa menanggung bayaran untuk rumah serta keretanya selain keahlian kelab dan meluncur air di seluruh dunia.

Susulan itu pada pagi kejadian, Gilbert meminta ibunya Shelley keluar membeli makanan dan coca cola, sebelum naik ke bilik bapanya yang ditembak di kepala.

Dia kemudian menyusun tempat kejadian supaya nampak seperti mangsa membunuh diri dan melarikan diri.

Ibunya pulang lima minit kemudian dan mendapati mayat mangsa yang berlumuran darah terbaring di bilik tidur mereka.

Menurut rakaman panggilan kecemasan Shelley, operator didengar bertanya siapa yang menembak mangsa dengan wanita itu menjawab: “Anak saya yang gila, cuma saya tidak sangka dia segila ini.”

Peguam bela Arnold Levine mendakwa Gilbert menghidap skizofrenia selama lebih sedekad menyebabkannya tidak mampu kerja. Susulan itu dia mendakwa tindakan Gilbert akibat sakit mental, bukannya sikap tamak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:52 AM