WINTER selamatkan anaknya daripada dibaham jerung. FOTO/AGENSI
WINTER selamatkan anaknya daripada dibaham jerung. FOTO/AGENSI
Agensi

North Carolina: Seorang bapa berjaya menyelamatkan anak perempuannya yang diserang jerung dengan menumbuk kepala haiwan itu berkali-kali hingga ia melepaskan mangsa dalam kejadian di sebuah pantai di North Carolina, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

News.com.au melaporkan, kejadian berlaku pada 2 Jun lalu ketika lelaki terbabit, Charlie Winter berenang bersama anaknya, Paige sebelum terdengar suara remaja lain menjerit nama anaknya dan meminta tolong.

Dia kemudian terlihat kesan darah di dalam air sebelum melihat anaknya yang berusia 17 tahun digigit seekor jerung yang besar.

“Saya melihat kaki kiri Paige digigit jerung berkenaan dan anak saya bergelut untuk melepaskan diri dengan cuba membuka mulut haiwan itu.

“Jerung itu sangat besar dan saya terus menghampiri anak saya lalu menumbuk kepala haiwan berkenaan sekuat hati. Saya tidak tahu berapa kali saya menumbuknya tetapi saya melakukan sedaya upaya hingga anak saya dilepaskan,” katanya yang berkongsi pengalamannya.

Menurut doktor, mangsa mengalami kecederaan parah dan mereka terpaksa memotong sebahagian kaki kiri dan dua jari tangan kiri remaja itu.

Remaja itu dipercayai diserang jerung daripada spesies Bull Shark, berdasarkan kesan gigi yang ditemui pada tulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 10:12 PM