DONALD Trump. FOTO AFP
DONALD Trump. FOTO AFP
Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran Iran akan musnah sekiranya Teheran menyerang kepentingan Washington.

“Sekiranya Iran mahu berperang, ia secara rasmi menjadi pengakhiran untuk Iran. Jangan sesekali mengancam AS lagi,” kata Trump di Twitter miliknya semalam tanpa menjelaskan ancaman yang dimaksudkannya.

Amaran Trump itu dikeluarkan susulan serangan terhadap aset minyak Arab Saudi pada minggu lalu dan serangan roket ke dalam Zon Hijau di Baghdad, Iraq yang menempatkan banyak bangunan kerajaan serta kedutaan.

Tentera Iraq memberitahu, tiada mangsa yang maut atau cedera dalam serangan itu dan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

AS pada awal bulan ini menggerakkan sebuah kapal pengangkut pesawat dan pesawat pengebom B-52 serta kapal penyerang amfibia dan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot ke rantau berkenaan.

Pada Rabu lalu, AS mengarahkan pegawai tidak penting di kedutaan AS di Baghdad dan di Erbil utara Iraq pulang kerana ancaman dari kumpulan bersenjata yang disokong Iran.

Bagaimanapun, dalam beberapa hari lalu, Rumah Putih mengeluarkan pelbagai reaksi terhadap Iran.

Beberapa pegawai tinggi dalam pentadbiran Trump juga dilaporkan media berbeza pendapat mengenai tindakan sepatutnya diambil terhadap Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 8:37 AM