Agensi

NEVADA: Seekor kucing comot menjadi selebriti apabila orang ramai sanggup mengembara beratus kilometer semata-mata untuk melihatnya di lokasi tumpuan pelancong di Nevada Northern Railway, Amerika Syarikat.

Daily Mail melaporkan, kucing berusia 11 tahun bernama ‘Dirt’ itu sudah dianggap sebagai sebahagian warga kerja dan duta di lokasi bersejarah di bandar Ely terbabit yang menempatkan pengangkutan kereta api enjin stim paling lama di negara itu.

Beberapa gambar menunjukkan gelagat kucing berkenaan duduk dengan selesa di sekitar bilik enjin iaitu tempat dia dilahirkan.

DIRT suka berguling-guling di lantai bilik enjin kawasan stesen keretapi hingga badannya kotor.
DIRT suka berguling-guling di lantai bilik enjin kawasan stesen keretapi hingga badannya kotor.

“Dirt dilahirkan di bilik enjin ini 11 tahun lalu dan dia ditinggalkan oleh ibunya di sini. Dia agak malu untuk keluar jadi kakitangan di sini sering meninggalkan satu tin tuna setiap malam dan ia pasti habis menjelang pagi.

“Dia mendapat namanya kerana sering menggolekkan badan di lantai bilik enjin hingga menjadi kotor. Warna bulunya adalah oren dan putih namun kini agak sukar untuk melihat warna itu,” kata jurucakap Nevada Northern Railway, Eric Mencis.

ANTARA pekerja yang sudi melayan Dirt.
ANTARA pekerja yang sudi melayan Dirt.

Hasil publisiti di media sosial, bandar kecil itu kini menerima lebih 30,000 pengunjung setiap tahun termasuk peminat Dirt.

“Kami mendapat tahu bahawa ramai yang sanggup datang ke sini semata-mata untuk melihat Dirt. Dia sememangnya mempunyai karakter tersendiri,” katanya.

RAMAI sanggup datang nak tengok si Dirt yang comot!
RAMAI sanggup datang nak tengok si Dirt yang comot!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:38 PM