Sydney: Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Papua New Guinea semalam, 110 kilometer di selatan barat daya kota Kokopo, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Kejadian itu berlaku sehari selepas gempa berukuran 6.7 melanda rantau itu.

Gempa terbaru itu melanda pada jam 8.06 pagi (waktu tempatan), 689 kilometer ke timur laut Port Moresby pada kedalaman 53 kilometer.

Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Kelmarin, gempa bumi berukuran 6.7 magnitud turut melanda wilayah sama pada kedudukan 131 kilometer di barat daya Kokopo, tetapi tiada kerosakan serius dilaporkan.

Timbalan Pengarah Pusat Amaran Bersama Tsunami Daniel Jaksa berkata: “Ini gempa bumi kedua sejak dua hari lalu. Sebelum ini ia berlaku kira-kira 10 kilometer dari pusat gempa bumi.

“Ia kawasan yang tidak berpenghuni di luar New Britain dan berukuran 7.1, iaitu 30 kali lebih kecil daripada gempa bumi di Nepal,” katanya.

New Britain, adalah pulau terbesar di Kepulauan Bismarck dengan kira-kira 500,000 penduduk.

Pulau itu terletak di sepanjang 4,000 kilometer Australia Pasifik yang membentuk ‘Lingkaran Api’ - tempat bagi aktiviti seismik disebabkan geseran antara plat tektonik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:09 AM