FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

TOKYO: Sebuah universiti di Nagasaki menghentikan pengambilan profesor dan pendidik yang merokok.

Tindakan itu sempena kempen anti merokok menjelang Sukan Olimpik 2020, lapor AFP hari ini.

Jurucakap Universiti Nagasaki, Yusuke Takakura memberitahu AFP pemohon yang berjaya berhenti rokok sebelum memegang jawatan berkenaan masih boleh bekerja.

Takakura berkata, pihak universiti juga akan menjadikan kampus sebagai kawasan larangan rokok mulai Ogos ini selain menyediakan klinik bagi individu yang sukar membuang tabiat itu.

“Kami mendapati perokok tidak sesuai berada dalam sektor pendidikan,” katanya.

Universiti Nagasaki sudah mendapat nasihat guaman berkenaan perkara itu dan mempercayai polisi baru berkenaan bukan diskriminasi.

Media tempatan melaporkan universiti berkenaan menjadi institusi pengajian tinggi pertama melaksanakan langkah sedemikian terhadap pengambilan pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:02 PM