PUASA dapat membantu membentuk disiplin diri untuk menghindari rokok.
PUASA dapat membantu membentuk disiplin diri untuk menghindari rokok.
Muhamaad Razis Ismail


Berpuasa melatih diri untuk menahan diri daripada melakukan perkara yang sudah menjadi rutin kita.

Ramadan membentuk disiplin diri untuk menghindari perkara yang membawa keseronokan kepada kita seperti makan, minum atau merokok.

Tempoh berpuasa selama 12 hingga 13 jam sehari adalah peluang keemasan untuk berhenti merokok.

Menyedari manfaat yang bakal diperoleh daripada sudut kesihatan, sosial dan ekonomi apabila berhenti merokok, seseorang perokok perlu mengambil kesempatan kedatangan Ramadan ini untuk berhenti merokok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, perokok perlu mencari alternatif untuk menghilangkan ketagihan.

"Minum banyak air antara waktu berbuka dan bersahur. Selain itu, mereka boleh mengunyah makanan ringan secara berterusan seperti kekacang dan buah-buahan bagi mengurangkan kesan ketagihan," katanya.

MINUM banyak air antara waktu berbuka dan bersahur dapat membantu menghilangkan ketagihan.
MINUM banyak air antara waktu berbuka dan bersahur dapat membantu menghilangkan ketagihan.

Pada masa sama, mereka juga boleh menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti bagi mengalihkan fikiran daripada berfikir mengenai merokok. Mereka boleh beriadah, kerap mandi, melakukan kerja rumah dan bersosial.

Selain itu, perokok perlu menjauhkan diri daripada berada dengan individu atau kelompok yang merokok.

Beliau berkata, perokok perlu mengenal pasti situasi yang mendorong untuk merokok dan mencari alternatif menggantikan rokok.

"Sebagai contoh, sebelum ini seseorang itu merokok kerana berasa stres kerana tidak berjaya mencari penyelesaian untuk tugasan yang diberikan majikannya.

"Bagi menguraikan kekusutan akibat stres, perokok perlu melakukan pernafasan dan pergerakan relaksasi untuk merehatkan minda serta mengendurkan ketegangan otot. Sebagai alternatif kepada rokok, perokok boleh menggantikannya dengan makanan atau minuman kesukaan," katanya.

Katanya, perokok juga boleh mendapatkan perkhidmatan profesional untuk membantu berhenti merokok ketika Ramadan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan klinik berhenti merokok. Ada juga kaedah tampalan nikotin yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan ketagihan nikotin," katanya.

Dalam fasa awal untuk berhenti merokok, seseorang itu mudah mendapat gejala akibat paras nikotin yang berkurangan dalam badan termasuk berpeluh, berdebar, berasa tidak tenteram, gangguan tidur, sakit kepala, berasa lesu dan fikiran bercelaru.

Tambahnya, bantuan profesional juga boleh dimanfaatkan untuk terapi tingkah laku kognitif (CBT).

"Terapi ini dapat membantu seseorang itu untuk mengenal pasti pemikiran negatif atau punca ketagihan.

"Seterusnya, pakar terapi akan membantu untuk seseorang itu menghadapi bentuk pemikiran sebegini dan menggantikannya dengan pemikiran yang lebih objektif dan realistik," katanya.

Dr Nor Faiza berkata, perokok perlu memasang niat yang teguh dan jitu untuk berhenti merokok.

"Mereka boleh membayangkan wajah insan-insan tersayang yang pastinya gembira dengan keputusan mereka untuk berhenti merokok.

"Tindakan perokok untuk berhenti merokok juga boleh menggembirakan ahli keluarga kerana berkurangnya salah satu lagi risiko untuk menghidapi penyakit kronik termasuk kanser," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 6:30 AM