PENGAWAL pantai merampas 100 kilogram heroin sebelum bot itu meletup.
PENGAWAL pantai merampas 100 kilogram heroin sebelum bot itu meletup.
AFP

AHMEDABAD: Sembilan warga Iran diselamatkan pihak berkuasa India selepas membakar kapal mereka untuk menghapuskan heroin disimpan di atasnya, dan kini ditahan atas kesalahan dadah kata pihak berkuasa.

Anak kapal berusaha melarikan diri ketika dihampiri pihak berkuasa di persisiran Gujarat, India barat, kata kenyataan skuad antikeganasan negeri itu.

“Pengawal pantai India mengejar bot itu. Apabila jelas mereka tidak boleh lagi melarikan diri, anak kapalnya membakar bot berkenaan untuk menghapuskan bukti,” kata kenyataan itu.

Pengawal pantai merampas 100 kilogram heroin sebelum bot itu yang dimuatkan 24,000 liter minyak dan silinder gas meletup serta karam.

Sembilan lelaki Iran diselamatkan dari laut dan ditahan. Berdasarkan soal siasat, kapal berkenaan dipercayai menerima dadah itu di pelabuhan Gwadar, Pakistan. Heroin itu dilaporkan bernilai AS$72.5 juta (RM296 juta) di pasaran gelap, kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 10:34 PM