ISRAEL menyerang penduduk Palestin yang berkumpul di pintu masuk utama kawasan masjid. -Foto AFP
ISRAEL menyerang penduduk Palestin yang berkumpul di pintu masuk utama kawasan masjid. -Foto AFP
Agensi

BAITULMAQDIS: Polis Israel bukan saja menutup semua pintu masuk ke Masjidil al-Aqsa, malah melarang azan dilaungkan dari masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu mulai kelmarin.

Malah, polis Israel turut menyerang penduduk Palestin yang berkumpul di pintu masuk utama kawasan masjid, Bab al-Asbat, yang mahu menunaikan solat Maghrib.

Agensi berita Palestin, WAFA, melaporkan umat Islam terpaksa menunaikan solat di luar pintu masuk itu sejak tengah hari semalam.

Kelmarin, polis Israel menyerang mereka yang masuk ke dalam masjid dan menolak jemaah keluar sebelum menutup semua pintu masuk dengan mendakwa ada pihak membakar balai polis dalam kawasan Masjidil al-Aqsa.

Penduduk Palestin bagaimanapun, menolak dakwaan polis Israel itu dan ada yang mencadangkan kebakaran itu sengaja dilakukan polis Israel sendiri atau ejennya bagi mencari alasanmenutup Masjidil al-Aqsa.

Ia sebahagian daripada usaha Israel menutup kawasan solat di Bab al-Rahma selepas cuba melakukannya sejak tiga minggu lalu.

Bulan lalu, Bab al-Rahma ditutup selama 16 tahun oleh Israel sejak 2003, dibuka secara paksa oleh Presiden Majlis Waqf, Sheikh Abdel-Azeem Salhab, dan lebih 40,000 rakyat Palestin memasuki Bab al-Rahma untuk solat Jumaat.

Majlis Waqf ialah jawatankuasa di bawah kerajaan Jordan yang diberi kuasa mentadbir Masjid al-Aqsa mengikut perjanjian damai Israel-Jordan.

Menurut saksi, sekumpulan besar polis Israel sememangnya ditempatkan di Baitulmaqdis Timur (Bandar Lama) namun polis di pintu masuk Masjidil al-Aqsa menghalau penduduk Palestin yang datang untuk bersolat di halaman terbuka di luar Bab al-Asbat.

Pertelingkahan berlaku dan polis Israel menggunakan kekerasan bagi menghalau jemaah dengan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan empat orang cedera akibat dipukul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:26 PM