JURUTERBANG memesan 23 piza untuk penumpang pesawat Air Canada. FOTO/AGENSI
JURUTERBANG memesan 23 piza untuk penumpang pesawat Air Canada. FOTO/AGENSI
Agensi

OTTAWA: Seorang juruterbang Air Canada memesan 23 set piza untuk diberikan kepada penumpang selepas pesawat itu terkandas akibat salji lebat.

Huffington Post melaporkan, pesawat itu berlepas dari Toronto, Ontario pada Isnin menuju Halifax, Nova Scotia.

Bagaimanapun, pesawat berkenaan terpaksa melencongkan perjalanannya ke Fredericton, New Brunswick menyebabkan penumpang di dalam pesawat terkandas ekoran landasan yang dilitupi salji.

Oleh kerana mahu menenangkan penumpang, juruterbang yang enggan dikenali itu bertindak memesan 23 set piza di restoran berhampiran, Minglers Restaurant and Pub di Oromocto, New Brunswick untuk dihantar ke dalam pesawatnya.

Pemiliknya, Roch Larivee berkata, dia terkejut menerima pesanan itu lebih-lebih lagi dalam keadaan ribut salji.

CBC melaporkan, seorang penumpang, Philomena Hughes, berkata juruterbang berkenaan memudahkan penumpang dengan memesan piza dan memaklumkan keadaan pesawat dari semasa ke semasa.

“Kami tersangkut di dalam pesawat hampir lapan jam. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi juruterbang itu berjaya membuat kami berasa tenang,” katanya.

Pada September 2018, seorang juruterbang American Airlines turut berbuat demikian dengan memesan 159 piza untuk penumpangnya selepas pesawat yang menuju ke Dallas dari Los Angeles terpaksa dilencongkan ke Texas akibat salji lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 8:49 PM