PEMBINAAN semula struktur di tapak pelancaran Satelit Sohae. FOTO Agensi
PEMBINAAN semula struktur di tapak pelancaran Satelit Sohae. FOTO Agensi
AFP

SEOUL: Korea Utara dikesan membangunkan semula stesen pelancaran roketnya yang juga tapak ujian peluru berpandu selepas gagal mencapai sebarang persetujuan dengan Amerika Syarikat dalam sidang kemuncak di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Aktiviti itu dikesan berdasarkan analisis imej satelit terbaru oleh sebuah pusat pemikir Amerika, lapor AFP.

Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik (CSIS) berkata, aktiviti itu dikesan dua hari selepas sidang kemuncak itu gagal mencapai persetujuan antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Menurut pusat yang berpangkalan di Washington itu, ia dianggap sebagai ‘bukti’ terhadap pembinaan semula struktur di tapak pelancaran Satelit Sohae yang digunakan oleh Pyongyang untuk melancarkan satelit pada 2012 dan 2016.

Pyongyang menggunakan tapak itu sebagai lokasi untuk melancarkan enjin roketnya.

CSIS berkata, aktiviti terbaru itu mungkin dilakukan akibat tindakan Amerika yang ‘tidak melayan’ tuntutan Pyongyang untuk minta menghentikan larangan ke atasnya.

“Pusat pelancaran yang aktif sejak Ogos 2018 itu menunjukkan aktiviti terbaru ini mungkin sengaja dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 11:11 AM