PETUGAS dengan sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE) memeriksa suhu penumpang bas di Pyongyang. FOTO KCNA VIA KNS / AFP
PETUGAS dengan sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE) memeriksa suhu penumpang bas di Pyongyang. FOTO KCNA VIA KNS / AFP
AFP

Washington: Komander tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan mendakwa pihak berkuasa Korea Utara sudah mengeluarkan arahan 'tembak untuk bunuh' bagi mencegah penularan Covid-19 dari China.

Hingga kini, Korea Utara tidak mengesahkan sebarang kes wabak itu yang melanda seluruh dunia sejak tercetus di China.

Pyongyang menutup sempadannya dengan China pada Januari lalu dalam usaha mencegah jangkitan dan media negara itu melaporkan bahawa perintah darurat dinaikkan ke tahap maksimum Julai lalu.

Komander Tentera AS di Korea (USFK), Robert Abrams berkata, penutupan sempadan itu bagaimanapun menyebabkan permintaan meningkat terhadap barangan seludup, sekali gus mendorong pihak berkuasa untuk campur tangan.

"Korea Utara memperkenalkan zon penampan baharu, satu atau dua kilometer di sempadan China.

"Mereka ada SOF (Pasukan Operasi Khas) Korea Utara di luar sana. Pasukan yang tegas, mereka menerima arahan tembak untuk bunuh," katanya pada satu persidangan dalam talian anjuran Pusat Pengajian Antarabangsa dan Strategik (CSIS) di Washington, semalam.

Beliau berkata, penutupan sempadan itu turut 'mempercepatkan kesan' sekatan ekonomi terhadap Korea Utara berikutan program nuklear negara berkenaan, dengan import dari China merosot 85 peratus.

Korea Selatan juga bergelut dengan kesan Taufan Maysak di mana media negara itu melaporkan lebih 2,000 kediaman musnah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 7:45 AM