KUBU Escobar diletupkan. FOTO/AGENSI
KUBU Escobar diletupkan. FOTO/AGENSI
Agensi

Bogota: Kerajaan Colombia meruntuhkan sebuah apartmen yang menjadi tempat persembunyian raja dadah terkenal, Pablo Escobar selepas bangunan itu menjadi antara lokasi tumpuan pelancong.

Bangunan setinggi lapan tingkat yang terletak di Medellin itu diruntuhkan menggunakan bahan letupan kelmarin dalam usaha kerajaan memadamkan legasi `raja kokain’ berkenaan.

Binaan yang dikenali sebagai Monaco itu runtuh dalam tempoh beberapa saat dan operasi itu turut disaksikan kira-kira 1,600 orang termasuk beberapa ahli keluarga mangsa pembunuhan Escobar.

Presiden Colombia, Ivan Duque yang turut menyaksikan operasi itu berkata, runtuhan bangunan itu melambangkan kekalahan budaya yang melanggar undang-undang.

Kawasan itu bakal dijadikan satu tempat peringatan bagi memperingati ribuan nyawa yang terkorban dalam perdagangan dadah pada era 1980-an hingga 1990-an.

Escobar antara lelaki terkaya di dunia ditembak mati polis di bumbung bangunan itu dalam satu kejadian tembak-menembak pada 1993 ketika dia berusia 44 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 1:59 PM