HOTEL Hilton dimana seorang wanita mendakwa terdapat rakaman video mandinya. FOTO/AGENSI
HOTEL Hilton dimana seorang wanita mendakwa terdapat rakaman video mandinya. FOTO/AGENSI
AFP

NEW YORK: Seorang wanita dari Chicago mengemukakan saman terhadap Hilton Worldwide (Hilton) dan menuntut pampasan sebanyak AS$100 juta (RM414.5 juta), kerana mendakwa kamera tersembunyi berjaya merakam imejnya yang sedang mandi dalam keadaan bogel.

Imej rakaman itu yang turut tertera identitinya kemudiannya dimuat naik ke beberapa laman web lucah oleh tetamu hotel berkenaan.

Plaintif yang tidak didedahkan namanya itu menyaman gergasi bidang perhotelan atas kecuaian hingga mengakibatkan ‘kecederaan psikologi yang teruk dan kekal’, selain penderitaan dari segi mental, emosi dan kerosakan lain, antaranya kehilangan pendapatan dan kos perubatan.

Wanita itu dilaporkan menginap di hotel Hampton Inn and Suites di Albany, New York pada Julai 2015 ketika mengambil peperiksaan undang-undang, selepas menamatkan pengajian di sekolah perundangan.

Mengikut tuntutan mahkamah setebal 19 muka surat, wanita itu dirakamkan kamera tersembunyi dalam keadaan bogel ketika sedang mandi.

Bagaimanapun, beliau mengabaikan kejadian berkenaan sehinggalah pada September lalu, iaitu lebih tiga tahun selepas insiden itu berlaku, apabila menerima e-mel yang mengatakan ‘adakah ini awak’ beserta pautan ke laman web lucah yang diterbitkan lengkap dengan nama penuhnya.

Berikutan itu, beliau menerima e-mel ancaman dari orang yang sama menghantar e-mel pertama dan individu itu mendakwa mengetahui syarikat lokasi dia bekerja serta universiti, iaitu tempatnya menamatkan pengajian.

Apabila ancaman itu tidak diendahkan, video berkenaan mula dimuat naik ke laman web lucah lain.

Malah, rakan sekerjanya, teman rapat dan bekas pelajar sekelasnya turut menerima video itu dalam versi baru yang dihantar mereka alamat e-mel palsu menggunakan nama wanita itu.

Menurut tuntutan itu, individu yang memeras ugut itu kemudiannya, menuntut bayaran sebanyak AS$2,000 (RM8,290) diikuti dengan bayaran bulanan sebanyak AS$1,000 (RM4,145) selama setahun, selain mendakwa turut merakamkan imej tetamu lain yang menginap di bilik yang sama di Hampton Inn.

“Kami amat mengambil berat aspek keselamatan dan kesejahteraan tetamu kami dan mendapati butiran maklumat yang dinyatakan dalam tuntutan sivil itu amat menyedihkan,” kata jurucakap Hilton, iaitu syarikat induk Hampton Inn.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:04 AM