DAVID Beckham ketika perlawanan amal pada 14 November 2015. FOTO AFP
DAVID Beckham ketika perlawanan amal pada 14 November 2015. FOTO AFP
Reuters

London: Beberapa e-mel digodam dan dibocorkan mempersoalkan kerja amal bekas kapten skuad England dan selebriti antarabangsa, David Beckham.

Beckham, 41, diserang akhbar tempatan pada Isnin selepas beberapa e-mel dipercayai dihantarnya dibocorkan oleh laman web 'Football Leaks.'

Antaranya adalah reaksi mencarut Beckham apabila mendapat tahu dia tidak akan dianugerahkan pangkat kesatria dan keengganannya menderma wangnya sendiri kepada projek amal.

Kebocoran ini menjejaskan imej awamnya sebagai 'orang biasa' sebaliknya memberi penggambaran bintang yang berhati-hati menjaga imejnya dan mudah tersinggung apabila tidak mendapat kehendaknya.

Namun, jurucakap Beckham berkata, e-mel tersebut diambil di luar konteks dan dipalsukan.

"Cerita ini berdasarkan bahan sudah lapuk yang diambil di luar konteks daripada e-mel peribadi yang digodam dan dipalsukan daripada orang ketiga," katanya dalam kenyataan.

Reuters tidak dapat mengesahkan sumber emel ini secara bebas.

Bagaimanapun, beberapa akhbar tabloid tempatan mengkritik Beckham pada Isnin dan menggelar isu ini sebagai 'Beckileaks.'

Daily Mail menerbitkan empat muka surat mengenainya manakala Daily Mirror berkata Beckham mangsa "ugutan untuk memalukan hero bola sepak."

Kemarahan banyak tertumpu kepada kerja Beckham dengan badan amal kanak-kanak UNICEF.

E-mel yang dibocorkan mendakwa Beckham meminta bayaran bagi penerbangan yang tidak perlu diambil dan enggan menderma duitnya sendiri kepada badan amal itu.

UNICEF berkata ia tidak dapat mengulas mengenai e-mel terbabit tetapi mempertahankan sumbangan Beckham.

"Selain murah hati memberi masa, tenaga dan sokongan untuk membantu meningkatkan kesedaran dan dana bagi kerja UNICEF demi kanak-kanak, David mendermakan dana yang besar secara peribadi," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 3:05 AM