GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

TOKYO: Kadar bunuh diri dikalangan remaja Jepun mencecah angka tertinggi sepanjang 30 tahun, kata kementerian pendidikan hari ini, walau angka keseluruhan menurun sejak 15 tahun lalu.

Sejumlah 250 kanak-kanak di sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi membunuh diri sepanjang tahun fiskal hingga Mac, meningkat daripada 245 tahun sebelumnya, menurut tinjauan kementerian.

Ia angka tertinggi sejak 1986, dengan 268 pelajar membunuh diri.

“Jumlah pelajar yang membunuh diri masih tinggi, dan ia adalah isu membimbangkan yang harus ditangani,” kata pegawai kementerian, Noriaki Kitazaki.

Katanya sukar untuk menentukan faktor di sebalik peningkatan itu.

Kajian menunjukkan, daripada 250 kes, 33 kanak-kanak dilaporkan bimbang mengenai masa depan mereka, 31 mempunyai masalah keluarga, 10 dibuli, manakala 140 lagi tidak diketahui.

Pelajar sekolah tinggi di Jepun biasanya menamatkan pengajian pada usia 18 tahun.

Menurut Agensi Polis Kebangsaan, berdasarkan keseluruhan kumpulan umur, jumlah bunuh diri di Jepun menurun kepada 21,321 pada 2017 berbanding 34,427 pada 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 3:29 PM