Amir Abd Hamid


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak tanggapan segelintir masyarakat bahawa pelajar dibebani kerja rumah.

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata, 460,000 guru yang berkhidmat di 10,200 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak dilatih mendera pelajar termasuk membebankan mereka dengan tugasan sekolah.

Beliau berkata, kejadian pelajar lelaki tingkatan satu di Pulau Pinang membunuh diri atas dakwaan tekanan dengan beban kerja sekolah perlu disiasat.

“Jika dakwaan itu benar, pasti ramai pelajar bunuh diri. Ini NUTP anggap sebagai kes terpencil.

“Tiada bukti kukuh lagi mengesahkan pelajar itu bunuh diri akibat banyak kerja sekolah.

“Pihak berkuasa perlu siasat kemungkinan ada unsur lain termasuk latar belakang keluarga sehingga berlaku kejadian sedih itu,” katanya.

Beliau berkata, guru tidak pernah diberi arahan membebankan pelajar dengan banyak kerja sekolah sebaliknya tugasan diberi untuk mengukuhkan tahap kefahaman, kuatkan ingatan selain persediaan untuk sesi seterusnya.

“Satu kes itu tidak boleh nak buat andaian liar. Ia tuduhan tidak berasas.

“Lagipun jika seseorang pelajar tak siap kerja sekolah, guru tidak sampai nak dera pula.

AMINUDDIN Awang
AMINUDDIN Awang

“Pelajar itu mungkin tidak faham dan tugas guru ialah mengukuhkan pemahaman sesuatu subjek itu dengan latihan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini NUTP tidak pernah menerima aduan daripada ibu bapa kerja sekolah diberi guru kepada anak mereka sebagai bebanan hingga timbul tekanan.

Beliau mewakili NUTP turut mengucapkan takziah kepada, keluarga pelajar tersebut.

“Beri ruang kepada polis dan KPM menyiasat punca sebenar kematian pelajar itu.

“Beban sesuatu perkara juga berkait rapat dengan minat seseorang.

“Bagi yang kurang minat belajar, satu muka surat tugasan pun boleh jadi beban, bahkan datang ke sekolah pun dianggap beban,” katanya.

Menurut beliau, NUTP secara umum yakin bukan kerja rumah punca utama tekanan pelajar.

Katanya, banyak aspek lain juga perlu diberi perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:40 AM