Dr Lee (kanan) bersama Teo Nie Ching (kiri) pada majlis perasmian HePiLi hari ini. FOTO Mahzir Mat Isa
Dr Lee (kanan) bersama Teo Nie Ching (kiri) pada majlis perasmian HePiLi hari ini. FOTO Mahzir Mat Isa
BERNAMA

PENINGKATAN kes merokok, penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar mencabar sistem kesihatan dan pendidikan negara, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, dua tinjauan iaitu Global School Based Student Health Survey 2012 dan Adolescent Health Survey 2017, mendapati prevalen perokok semasa dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 11.5 peratus kepada 13.8 peratus.

“Prevalen remaja yang pernah berniat membunuh diri juga meningkat dari 7.9 peratus kepada 10 peratus manakala prevalen pengambilan dadah semasa meningkat daripada 1.5 peratus kepada 3.4 peratus selain masalah obesiti dan penggunaan vape.

“Disebabkan angka ini, adalah penting promosi kesihatan di institusi pendidikan diadakan kerana pelajar adalah ‘capture audience’ yang terbaik dalam menyampaikan maklumat kesihatan iaitu mereka terima maklumat dan disampaikan kepada rakan sebaya dan ibu bapa,” katanya pada satu sesi forum antara kementeriannya dan Kementerian Pendidikan (KPM) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Lee berkata, sebagai contoh Program Tunas Doktor Muda bagi 2018 mencapai 85 peratus pelaksanaannya dan ia bukti keberhasilan aktiviti pendidikan dan promosi kesihatan dalam kalangan kanak-kanak pra-sekolah.

Forum itu diadakan sempena Simposium Health Promotion in Learning Institution (HePiLI) peringkat kebangsaan 2019 yang berlangsung tiga hari bermula semalam bertemakan ‘Memperkukuh Komuniti Institusi Pendidikan Ke Arah Cara Hidup Sihat’ dan disertai lebih 500 peserta dari kalangan guru dan anggota kesihatan.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada forum sama berkata, kementeriannya turut menitikberatkan aspek kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan sedang berusaha meningkatkan nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 pelajar sekolah rendah dan menengah.

Teo berkata, KPM juga sudah memulakan projek rintis Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL) untuk membantu pelajar berisiko tinggi dalam masalah kesihatan mental.

“Kita harap dengan (kejayaan) projek rintis ini, ia akan diperluas di semua sekolah supaya kita boleh bekerjasama dengan kepakaran sedia ada untuk membantu golongan yang memerlukan perhatian lebih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata, kementerian masih mengkaji pengawal seliaan isu penggunaan rokok elektronik atau vape menerusi jawatankuasa khusus yang ditubuhkan Jun lalu.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan melarang penggunaan vape dalam negara, beliau berkata, KKM sudah mewujudkan jawatankuasa khas khusus soal vape dan rokok dan dalam rancangan untuk wujudkan rang undang-undang khas untuk mengawal vape dan rokok.

KKM juga mengenalpasti iklan promosi vape dalam laman sosial yang menyasarkan golongan remaja sekolah dan dalam usaha menyekat talian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 10:41 PM