Agensi

New Delhi: Seorang wanita terpaksa memotong sendiri tali pusat bayi perempuan yang baru dilahirkan menggunakan kuku serta batu selepas melahirkan bayi berkenaan di tepi jalan sebuah kawasan terpencil di India ketika dalam perjalanan ke hospital.

Wanita itu, Chodipalli Muttayamma, 24, diusung dengan kain oleh penduduk untuk ke hospital terdekat sejauh kira-kira tujuh kilometer, minggu lalu, kerana kawasan terbabit tidak mempunyai kemudahan jalan raya.

Perkampungan wanita itu terletak di daerah Vizianagaram, Andra Pradesh.

Namun, perjalanan mereka tidak sampai separuh jalan apabila dia melahirkan bayi perempuan.

Kejadian itu dirakam ahli keluarganya, termasuk ketika Chodipalli memotong tali pusat menggunakan batu serta kukunya.

Menurut Daily Mail yang memetik media tempatan, selepas ia dipotong, mereka membersihkan bayi itu dan membalut bayi berkenaan dalam selimut sebelum dibawa pulang ke rumah yang terletak kira-kira tiga kilometer.

Ahli keluarganya turut menyebarkan klip video itu bagi menimbulkan kesedaran kepada pihak terbabit mengenai kemudahan jalan raya yang tidak disediakan di 450 kampung sekitar tempat tinggal mereka.

Salah seorang yang membuat rakaman itu berkata: “Tiada siapa pedulikan kami walaupun ketika saat kematian.

“Kami tidak tahu ke mana dan siapa patut kami jumpa. Tolong lihat video ini dan lakukan sesuatu untuk membantu kami,” katanya.

Selepas video itu dimuat naik di media sosial dan menjadi tular, pegawai kerajaan melawat keluarga terbabit di rumah.

Pegawai perubatan daerah, Vijaya Laxmi berkata: “Kakitangan kami dikejarkan ke kampung itu dan memberi ubat-ubatan kepada ibu berkenaan. Kami juga memberi suntikan vaksin kepada bayi.

Pegawai kebajikan dilaporkan berkata, kerja bagi menyediakan kemudahan jalan raya sudah dimulakan bagi menghubungkan semua 450 kampung terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 3:59 PM