GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

MAHKAMAH di Connecticut, Amerika Syarikat, semalam menghukum penjara lapan bulan ke atas seorang penggodam kerana menyiarkan dan mengedarkan foto bogel pelakon terkenal Hollywood serta maklumat peribadi mereka yang menjadi antara 240 mangsanya, lapor media Britain.

George Garofano adalah antara empat orang yang dituduh terbabit dalam skandal godam itu pada 2014 yang mana foto peribadi selebriti termasuk Jennifer Lawrence, Kate Upton, Kirsten Dunst dan orang lain disiarkan di dalam talian.

Garofano, 26, dituduh melanggar undang-undang dengan menggodam 240 akaun peribadi Apple iCloud membabitkan selebriti dan orang biasa sebelum disebarkan melalui Internet.

Ketika perkara itu didedahkan, Lawrence menyifatkan perbuatannya sebagai jenayah seksual dan menggesa pihak berkuasa memperketatkan undang-undang.

Hakim mahkamah daerah di Connecticut mengarahkan Garofano dipenjara diikuti pemantauan selama tiga tahun selepas dibebaskan.

Garofano sudah mengaku bersalah pada April lalu dengan mengakui menghantar emel kepada mangsa dengan menyamar sebagai petugas keselamatan online Apple untuk mendapatkan nama dan kod akses akaun mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 5:56 PM