Muhammad Saufi Hassan

Apple melancarkan pakej harga untuk beberapa perkhidmatannya dengan satu harga menerusi platform Apple One yang sudah dilancarkan di negara ini.

Pakej berkenaan termasuk langganan perkhidmatan iCloud, Apple Music, Apple Arcade dan Apple TV+.

Ia adalah pakej perkhidmatan yang menghimpunkan perkhidmatan Apple dengan satu kadar bayaran saja berbanding sebelum ini apabila pengguna perlu melakukan pembayaran untuk setiap perkhidmatan berkenaan.

Bagi pelan individu, pengguna hanya perlu membayar RM19.90 untuk keempat-empat perkhidmatan termasuk 50GB storan iCloud manakala untuk pakej keluarga, ia menawarkan 200GB storan iCloud bersama kadar bayaran RM33.90.

Pengguna diberikan tempoh percubaan selama sebulan bermula bulan ini sehingga 1 Disember depan sebelum caj perkhidmatan itu dikenakan.

Untuk melanggan, pengguna perlu memastikan peranti mempunyai sistem operasi iOS 14, iPadOS 14 atau tvOS 14 dan menekan butang 'settings' serta memilih tab langganan (Subscriptions) kemudian memilih pakej yang dirasakan sesuai dengan kegunaan.

Bagi pakej keluarga, ia boleh dikongsi sehingga enam orang ahli keluarga yang lain hanya menggunakan satu akaun saja.

Pelan Apple One untuk individu serta keluarga ini ditawarkan lebih di 100 buah negara manakala bagi pelan utama, pengguna di Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) akan menikmati beberapa pakej tambahan lan antaranya Apple News+ dan Apple Fitness+.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 3:26 PM