THOMAS Frieden di Mahkamah Jenayah Bandaraya New York di Brooklyn. Foto REUTERS
THOMAS Frieden di Mahkamah Jenayah Bandaraya New York di Brooklyn. Foto REUTERS
Reuters

BEKAS Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) ditangkap dan didakwa dengan penderaan seksual semalam selepas dituduh meraba seorang wanita tahun lalu.

Thomas Frieden antara tokoh yang membantu membendung penularan wabak Ebola di Afrika Barat pada 2014.

Wanita berusia 55 tahun itu memfailkan aduan Julai lalu terhadap Frieden, yang pernah berkhidmat sebagai pesuruhjaya kesihatan di New York, menuduh dia meraba punggungnya tanpa izin Oktober tahun lalu di pangsapuri Frieden di Brooklyn, kata jurucakap Jabatan Polis Bandaraya New York, Arlene Muniz.

Frieden, 57, menyerah diri kepada balai polis Brooklyn, kata Muniz, dan dia ditahan atas dakwaan penderaan seksual, meraba secara paksa dan melakukan gangguan.

Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Michael Yavinsky di Mahkamah Jenayah Bandaraya New York di Brooklyn, kata peguamnya, Laura Brevetti.

Dia akan hadir semula di mahkamah pada 11 Oktober ini.

Selepas meletak jawatan di CDC pada 2017, Frieden menjadi presiden Resolve to Save Live, usaha pertubuhan Vital Strategies untuk memperbaiki sistem kesihatan umum di seluruh negara.

Program itu turut dibiayai Bill & Melinda Gates Foundation dan Chan Zuckerberg Initiative.

Kenyataan dikeluarkan Chan Zuckerberg Initiative, badan kebajikan diuruskan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dan isterinya, Priscilla Chan, berkata, pertubuhan itu ‘terganggu dan sedih’ dengan dakwaan itu.

“Chan Zuckerberg Initiative memandang serius salah laku peribadi dan memantau rapi keadaan ini,” menurut kenyataan.

Sementara Bill & Melinda Gates Foundation juga berkata ia memandang amat serius dakwaan salah laku seksual itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 9:40 AM