2,551 kanak-kanak bakal disatukan bersama ibu bapa mereka. FOTO/AGENSI
2,551 kanak-kanak bakal disatukan bersama ibu bapa mereka. FOTO/AGENSI
Reuters

WASHINGTON: Juri persekutuan, semalam meluluskan pelan menyatukan semula ratusan lagi keluarga yang dipisahkan pegawai sempadan selepas mereka memasuki Amerika Syarikat dari Mexico.

Rancangan yang dirundingkan oleh kerajaan AS dan kumpulan penyokong hak pendatang menunjukkan tahap kedua usaha persekutuan menyatukan 2,551 kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun dengan ibu bapa mereka.

Keluarga berkenaan dipisahkan menurut dasar ‘toleransi sifar’ Presiden Donald Trump terhadap pendatang tanpa izin.

Menjelang kelmarin, 541 kanak-kanak masih terpisah dan berada dalam penjagaan Pejabat Penempatan Semula Pelarian manakala 24 lagi di bawah usia lima tahun juga kekal dalam penjagaan persekutuan.

Lebih 2,000 kanak-kanak sudah disatukan semula dengan ibu bapa mereka.

Rancangan itu menetapkan proses mencari ibu bapa di luar negara, menilai keupayaan mereka sebagai ibu bapa dan memastikan pelan terhadap anak masing-masing.

Ia termasuk syarat yang dirundingkan minggu ini, termasuk perjalanan yang diuruskan kerajaan untuk kanak-kanak berkenaan dan tidak menjejaskan hak mereka mendapatkan suaka pada masa depan.

“Pelan bersama yang dicadangkan itu diluluskan mahkamah,” kata Hakim Dana Sabraw pada sesi pendengaran di San Diego yang turut dihadiri Jabatan Kehakiman AS dan peguam Kesatuan Pembebasan Sivil Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 8:32 AM