KEADAAN kawasan yang musnah akibat kebakaran di utara California. -Foto AFP
KEADAAN kawasan yang musnah akibat kebakaran di utara California. -Foto AFP
AFP

REDDING : Seorang kanak-kanak lelaki merayu supaya dirinya diselamatkan sebelum terkorban bersama dua lagi mangsa dalam kebakaran hutan di California, dedah ahli keluarga mangsa, semalam.

Ribuan anggota bomba di California berjaya mencatatkan sedikit perkembangan positif dalam usaha memadamkan kebakaran berkenaan yang sehingga kini telah memusnahkan kawasan seluas 80,940 hektar dan kediaman mewah serta meragut lapan nyawa terdiri daripada anggota bomba dan orang awam.

Kebakaran terburuk berlaku di utara California dan dikenali sebagai Carr Fire yang sehingga kini telah meragut enam nyawa Khamis lalu, termasuk seorang wanita warga emas berusia 70 tahun serta dua cicit, masing-masing berusia empat dan lima tahun.

Ketiga-tiga mangsa maut apabila kediaman mereka di sini musnah dijilat api.

Menurut laporan media tempatan, mangsa dikenali sebagai Melody Bledsoe manakala dua kanak-kanak terbabit disahkan sebagai Emily Roberts dan James Roberts atau nama panggilannya Junior.

“Saya berbual di telefon bersama Junior sehingga saat kematiannya,” kata suami Melody, Ed Bledsoe kepada CNN sambil mengimbas kembali ayat terakhir kanak-kanak malang itu, kakaknya dan moyang mereka.

“Junior berkata, cepat selamatkan saya. Api datang dari pintu belakang. Cepat datuk,” kata Bledsoe dengan suara yang tersekat-sekat menahan kesedihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:05 PM