KEBAKARAN di California sudah meragut 10 nyawa setakat ini. Foto AFP
KEBAKARAN di California sudah meragut 10 nyawa setakat ini. Foto AFP
AFP

JUMLAH kematian akibat kebakaran di California meningkat kepada 10 semalam selepas seorang mekanik jentera berat terbunuh dalam kemalangan jalan raya, kata pihak berkuasa.

Carr Fire di bandar Redding itu terbukti sebagai yang paling buruk setakat ini dengan hampir 20 kebakaran utama di seluruh California dan telah meragut tujuh nyawa, termasuk dua anggota bomba.

Dua lagi mangsa terbunuh dalam Ferguson Fire yang memaksa penutupan sebahagian besar Taman Negara Yosemite.

“Kami dengan penuh dukacita mengumumkan kematian mekanik jentera berat CAL FIRE yang ditugaskan membantu kebakaran ini,” kata Jabatan Perlindungan Perhutanan dan Kebakaran California (CAL FIRE) dalam satu kenyataan, semalam.

“Dia meninggal dunia awal pagi ini akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya 99 di Tehama County,” kata kenyataan itu lagi.

Pihak CAL FIRE berjaya mengawal 48 peratus dari kebakaran itu sejak ia bermula 23 Julai lalu.

Kebakaran terbesar setakat ini adalah Mendocino Complex yang menggabungkan dua kebakaran utama, Ranch Fire dan River Fire, membabitkan kemusnahan kawasan lebih daripada 121,405 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 9:20 AM