MUHAMMAD Azlan tersenyum selepas seorang kanak-kanak yang diselamatkan dalam kebakaran rumah di Taman Arked, Dengkil, muntah di atas bajunya, hari ini dan gambar itu tular di media sosial.
MUHAMMAD Azlan tersenyum selepas seorang kanak-kanak yang diselamatkan dalam kebakaran rumah di Taman Arked, Dengkil, muntah di atas bajunya, hari ini dan gambar itu tular di media sosial.
Noor Atiqah Sulaiman


“KAMI sebagai anggota bomba tidak kisah jika baju kotor terkena muntah mahupun terkena percikan darah asalkan nyawa mangsa dapat diselamatkan,” kata Muhammad Azlan Mohd Nor, 30, anggota bomba yang tular selepas seorang kanak-kanak yang diselamatkan muntah pada bajunya.

Muhammad Azlan berkata, muntah itu adalah satu perkara kecil dalam pekerjaannya kerana sebelum ini dia pernah melakukan perkara lebih teruk seperti mengutip daging manusia yang hancur akibat terbabit dalam kemalangan serta darah mangsa yang diselamatkan terpercik di muka.

Dia yang sudah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba berkata, dia tidak sedikit pun menghiraukan bajunya kotor terkena muntah berkenaan, tetapi keutamaannya ketika itu ialah kanak-kanak yang diselamatkan berada dalam keadaan baik.

“Ketika gambar itu diambil, kami dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan susulan selepas berjaya menyelamatkan tujuh ahli keluarga apabila rumah yang mereka duduki terbakar, awal pagi hari ini.

“Pada mulanya, saya pegang kanak-kanak itu yang ketika itu pening dan mahu muntah, mungkin kerana terhidu asap akibat kebakaran di rumah terbabit.

“Tidak sangka pula, gambar yang diambil itu terus tular selepas dikongsi salah seorang yang berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Muhammad Azlan berkata, beliau bersyukur apabila gambar terbabit tular kerana sekurang-kurangnya netizen tahu kerja yang dilakukan anggota bomba sepertinya.

“Kami (bomba) rasa dihargai selepas membaca komen ditulis netizen selepas gambar terbabit tular, malah selepas tragedi yang meragut nyawa enam anggota bomba sebelum ini memberi satu gambaran bahawa tugas sebagai bomba ini bukanlah satu perkara mudah.

“Ia menunjukkan anggota bomba ini sanggup lakukan apa sahaja asalkan mangsa selamat. Itu sudah cukup memberi kepuasan kepada kami semua,” katanya.

Sebelum ini, gambar Muhammad Azlan memegang seorang kanak-kanak perempuan tular di media sosial.

Rata-rata netizen memberikan komen berbangga dengan tugas sebagai anggota bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, Nor Azilee Abd Kadir, ketika dihubungi berkata, kebakaran itu berlaku di Taman Arked, Dengkil pada 1 pagi.

“Rumah terbabit musnah teruk di bahagian ruang tamu, bagaimanapun kejadian itu tidak menjejaskan rumah lain.

“Buat masa ini bomba masih menyiasat punca kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 8:49 PM