POLIS membuka kes jenayah ke atas parti Nawaz Sharif. FOTO/AFP
POLIS membuka kes jenayah ke atas parti Nawaz Sharif. FOTO/AFP
Reuters

LAHORE: Polis membuka kes jenayah ke atas hampir 17,000 anggota parti pemerintah Pakistan yang bakal meninggalkan jawatan kerana melanggar undang-undang pilihan raya, kata satu kenyataan kelmarin ketika negara itu bersiap sedia mengundi minggu depan.

Sebanyak 16,868 kes terbaharu yang mana kenyataan polis berkata, didaftarkan di wilayah timur Punjab sejak empat hari lalu, dilakukan selepas pasukan keselamatan menahan ratusan anggota Parti Liga Islam (PML-N) di bandar tengah di sini.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberi butiran peraturan pilihan raya mana dilanggar.

Pengasas parti itu, bekas perdana menteri disingkir Nawaz Sharif, berdepan sabitan tanpa kehadirannya atas dakwaan rasuah, dipenjarakan minggu lalu sekembalinya ke sini untuk menghidupkan semula PML-N sebelum pengundian 25 Julai.

Kempen itu dilingkari tuduhan bahawa tentera berkuasa Pakistan kini menjadi dalang untuk memastikan bekas pemain kriket, Imran Khan, menang.

Tentera, yang memerintah negara bersenjata nuklear itu hampir separuh daripada sejarah dan menamatkan pentadbiran kedua Sharif dalam rampasan kuasa tanpa tumpahan darah pada 1999, berulang kali menafikan sebarang campur tangan, manakala Khan juga menolak bersekongkol dengan tentera.

Tinjauan kebangsaan menunjukkan perlumbaan rapat antara PML-N dan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI atau Pergerakan Keadilan Pakistan) diketuai Khan dengan Parti Rakyat Pakistan berada di tempat ketiga.

Kenyataan polis berkata, kes turut mendaftarkan 39 anggota pergerakan Khan.

Katanya, 270 orang sudah ditahan namun tidak menyebut parti politik mana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 7:25 AM