ANGGOTA keselamatan Pakistan memeriksa kawasan serangan bom di sebuah pusat mengundi Quetta semalam yang menyebabkan 30 terbunuh. - EPA
ANGGOTA keselamatan Pakistan memeriksa kawasan serangan bom di sebuah pusat mengundi Quetta semalam yang menyebabkan 30 terbunuh. - EPA
AFP

Islamabad: Serangan bom yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, manakala 35 lagi cedera di Quetta mencemarkan hari pertama pilihan raya Pakistan, semalam.

Dalam serangan nekad di sebuah pusat pengundian di Quetta itu, pengebom cuba memasuki pusat pengundian itu, namun apabila dihalang polis, dia meletupkan dirinya.

Belum ada sebarang pihak mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Sejak sebulan lalu, kempen pilihan raya Pakistan digegarkan dengan serangan bom, termasuk yang didakwa dilakukan Daish, meragut lebih 15 nyawa.

Dalam satu lagi serangan di wilayah Balochistan semalam, seorang anggota polis terbunuh dan tiga lagi cedera apabila bom tangan dilempar ke arah pusat pengundian perkampungan Koshk di daerah Khuzdar.

Jutaan rakyat Pakistan mula mengundi semalam, selepas kempen yang dianggap paling getir, termasuk dakwaan campur tangan tentera bagi menentukan keputusan pilihan raya.

Pihak berkuasa mengerahkan lebih 800,000 anggota keselamatan, termasuk polis dan tentera untuk mengawal lebih 85,000 pusat mengundi di negara yang berpenduduk kira-kira 207 juta orang itu.

Tentera mengerahkan lebih 370,000 anggotanya, manakala polis menggerakkan 450,000 anggota.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif iaitu Liga Muslim-Nawaz Pakistan (PML-N) dan parti Tehreek-e-Insaf (PTI) yang diterajui bekas bintang kriket, Imran Khan.

Rakyat Pakistan akan memilih 272 Ahli Parlimen daripada 11,000 calon yang bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 11:59 AM